Seseorang dihormati kerana keadilannya. Dan seseorang ditakuti kerana kekuatannya. Jika kita adil dan kuat, maka kita akan dihormati sekali gus ditakuti. Lalu layaklah kita menjadi pemimpin kepada orang lain. Sebaliknya, jika kita sudah tidak ditakuti dan tidak dihormati, maka kelayakan kita sebagai pemimpin akan hilang. Wibawa kita sudah jatuh.
Hakikat inilah yang berlaku kepada Amerika. Kini ia sudah tidak dihormati dan ditakuti lagi sekaligus menyebabkan Amerika tidak layak lagi menjadi ‘Polis Dunia’ dan ‘Pembela Hak Asasi manusia’ seperti yang selalu diuar-uarkannya. Amerika jelas tidak adil dalam konflik Arab-Israel. Manakala serangan ke atas WTC dan Pentagon pada peristiwa 11 September sedekad yang lalu telah membuktikan bahawa Amerika sudah tidak kuat dan tidak lagi digeruni.
Ironinya, sejak dahulu lagi Amerika cuba meyakinkan kepada dunia bahawa Osama bin Laden adalah musuh yang ganas, kuat dan berpengaruh. Dan bila berlaku serangan ke atas WTC dan Pentagon, nama jutawan Arab Saudi itu telah dikaitkan sejak awal-awal kejadian lagi. Apakah sebenarnya tujuan di sebalik gembar-gembur Amerika ini? Benarkah Amerika memang takut kepada Osama yang berjuang seorang diri tanpa mewakili mana-mana negara sekalipun Tanah Airnya sendiri?
Atau ada bahaya lain yang sebenarnya lebih dicurigai oleh Amerika? Lalu faktor Osama sengaja dibesar-besarkan agar Amerika mempunyai alasan yang kukuh untuk terus melaksanakan agenda neokolonialismanya ke atas negara lain khususnya negara-negara Islam. Cita-cita Amerika ini jelas dinukilkan oleh Francis Fukuyama dalam bukunya The End Of History – yang membayangkan akhirnya dunia ini akan dikuasai oleh Liberal-Kapitalis (siapa lagi kalau bukan amerika?).
Dunia Islam telah lama sedar bahawa Amerika sentiasa curiga dengan sebarang kuasa yang boleh menggugat ketuanannya. Menurut pakar-pakar futuristik mereka, kebangkitan Islam di seluruh dunia adalah satu daripada ancaman tersebut. Kebimbangan ini telah pun disuarakan menerusi ucapan atau tulisan beberapa orang bekas presiden Amerika seperti Richard Nixon, Ronald Reagan dan Bill Clinton. Kebimbangan yang sama juga pernah diluahkan oleh para pemikir Barat seperti Samuel Huttington yang meramalkan pertembungan Islam dan Barat dalam bukunya ‘Clash of Civilisation’.
Tegasnya, bagi Amerika, selepas ancaman Soviet Union berakhir maka Islamlah satu-satunya ‘ancaman’ yang berpotensi menggugat mereka. Walaupun sehingga kini belum ada sebuah negara Islam pun yang mampu menandingi Amerika dari segi ekonomi, politik dan ketenteraan, namun Amerika masih belum puas hati.
Pada Amerika, semangat Islam dalam jiwa umatnya masih belum mati, cuma tertidur (dorman) sahaja. Bila-bila masa sahaja ia boleh bangkit dan menggugatnya kembali. Dan serangan berani mati yang dilancarkan keatasnya baru-baru ini lebih menguatkan andaian itu. Amerika melakukan kesilapan besar jika menganggap serangan itu petanda kebangkitan Islam.
Sebenarnya apa yang disifatkan keganasan oleh Amerika dan para penyokongnya itu hanyalah manifestasi daripada kekecewaan, kemarahan dan dendam sebahagian umat Islam yang benci kerana ke tidak adilnya. Dunia harus sedar bahawa Amerika punya ramai musuh. Dan adalah tidak adil jika tuduhan hanya ditujukan ‘pengganas’ yang beragama Islam.
Malang bagi Amerika, ketika mantan presiden Bush menegaskan bahawa serangan ke atas Afghanistan dahulu bukan satu serangan ke atas umat Islam, tetapi dia sendiri nampaknya tidak memahami bahawa serangan ke atasnya juga bukan bermotifkan agama sebaliknya kerana sikap tidak adilnya. Pendek kata, konflik sebenarnya bukanlah antara agama dengan agama, tetapi antara orang yang ditindas dengan penindasnya.
Jika ini benar, Amerika nampaknya bukan sahaja gagal mentafsir ‘kenapa’ semua ini berlaku malah ia juga tidak tahu ‘apa’ yang sebenarnya berlaku. Amerika harus jujur untuk mengakui kesilapannya dan menerima hakikat bahawa konflik yang berlaku sekarang bukan antara agama dengan agama, atau antara pihak yang adil dengan pihak pengganas, tetapi antara sekelompok pihak yang didakwa pengganas dengan penaja pengganas yang terbesar. Sebabnya? Dasar berat sebelah Amerika dalam bidang ekonomi, ketenteraan, politik dan media di seluruh dunia!
Ulama terkenal Islam, Profesor Dr. Yusuf Qardawi telah menyatakan bahawa hingga kini Barat masih menganggap Islam sebagai bahaya yang mengancamnya. Beliau menegaskan bahawa para pemimpin Barat sentiasa mengingatkan bahawa Islam ialah ‘bahaya hijau’ yang berlawanan dengan ‘bahaya merah’ yang diwakili oleh Soviet Union dan ‘bahaya kuning’ yang diwakili oleh China.
Setelah Soviet Union berpecah, beruang putih itu telah berjaya dikembiri. China juga berjaya dijinakkan dan kini Amerika mula mencari ‘musuh baru’ untuk mengaktifkan agar otot-otot kekuasaan mereka tidak menjadi lemah. Kekosongan daripada sebarang musuh akan melembapkan mereka di bidang ekonomi, ketenteraan dan politik.
Negara besar seperti Amerika, perlu ‘mencipta’ musuh atas sebab-sebab patriotik, penjualan senjata, perpaduan dan kepentingan birokratnya. Dan Qardawi mengingatkan lagi bahawa antara sebab Amerika dan Barat beranggapan begitu ialah kerana sifat keegoannya yang tinggi, dendam perang Salib dan hasutan yang terus-menerus oleh puak-puak Yahudi.
Namun itu bukanlah satu perkara yang mudah justeru Amerika tidak boleh berbuat sewenang-wenangnya terhadap mana-mana negara atau individu Islam kerana ia pada masa yang sama dia mahu terus dikenali sebagai jaguh keamanan dan pejuang hak asasi manusia. Jadi bagaimana? Amerika mesti muncul sebagai ‘Rambo’ yang menjadi penyelamat dunia. Jika ada Rambo mana ‘crook’nya? Ya, individu seperti Osama bin Laden, Saddam, Ghaddafi, boleh dijadikan ‘icon’ keganasan yang dicari-carinya.
Tegasnya, dasar Amerikalah yang sebenarnya melahirkan icon ‘pengganas’ seperti Osama. Dan untuk itu dunia antarabangsa perlu terus ditakut-takutkan akan bahaya ancaman kumpulan ‘pengganas’, ‘militan’, ‘pemberontak’ dan ‘pemisah’ Islam. Sedangkan hakikatnya Amerika juga boleh dilabel sebagai ‘pengganas’ atas peranannya menaja keganasan Yahudi di Timur Tengah.
Amerika berharap ancaman Osama boleh menggantikan ancaman Soviet Union untuk memberi tekanan baru terhadap negara-negara yang menjadi musuhnya seperti Iran, Afghanistan, Iraq, Libya dan Sudan, Manakala faktor yang sama juga boleh menyebabkan negara-negara seperti Arab Saudi, Turki, Pakistan, Uzbekistan dan Kuwait terus bergantung kepadanya. Osama perlu digambarkan sebagai pengganas yang kuat dan hebat agar Amerika punya justifikasi untuk ‘memerangi’ keganasan di Baghdad, Tripoli, Nairobi, Dar es Salaam dan Kabul.
Ini juga akan menyebabkan pihak pemerintah negara-negara Islam akan terus dipaksa atau diperalatkan atau ditekan bagi menyekat semangat persaudaran dan soladariti dikalangan negara-negara Islam. Amerika cuba menggunakan faktor keganasan untuk menakut-nakutkan pemerintah negara di Timur Tengah yang kebetulan sedang menghadapi kebangkitan rakyat dan gerakan Islam di negara masing-masing.
Dengan ini Amerika berharap akan dapat mencetuskan konflik ‘fanatik Islam lawan moderate Islam’ bagi melemahkan perpaduan dikalangan umat Islam samada di dalam negara atau antara negara dengan negara. Sikap buruk terhadap dunia Islam oleh Amerika ini boleh digambarkan melalui pengakuan bekas presiden Nixon ketika mengulas tentang perang Iran-Iraq suatu ketika dahulu. Beliau pernah berkata,” jika ada peperangan yang sangat didambakan oleh manusia, maka ia adalah peperangan Iraq melawan Iran. Dan jika terdapat peperangan yang diharapkan oleh kita agar tidak ada pemenangnya, maka ia adalah peperangan Iraq melawan Iran”.
Harapan beliau biarlah umat Islam terus berbunuhan sesama sendiri agar kedua-duanya musnah! Inilah hasrat sebenar Amerika yakni melemahkan umat Islam akibat sengketa sesama Islam sendiri atau diserang secara lansung melalui tindakan ketenteraan atau sekatan ekonomi.
Dalam kes Osama ini, Amerika akan memperolehi dua keuntungan melalui ‘psy-war’nya. Pertama, memecah-belahkan perpaduan antara rakyat dengan pemerintah di negara Islam seperti yang berlaku di Pakistan, Indonesia dan lain-lain. Kedua, itu memberi alasan kepadanya untuk terus ‘mengganas’ untuk menghapuskan keganasan seperti yang telah dilakukannya ke atas Iraq, Libya dan Afghanistan.
Dijangkakan konflik antara pemerintah dengan rakyat di negara-negara Islam akan menjadi serius jika Amerika terus menceroboh negara-negara Islam. Pemerintah negara Islam akan tersepit antara sentimen rakyat yang bencikan kezaliman dengan kepentingan politik di arena antarabangsa yang didominasi oleh Amerika. Bukan sahaja presiden Pakistan, malah banyak lagi ketua negara Islam mungkin mengalami dilema yang sama.
Jika konflik ini tidak berjaya didamaikan, kestabilan negara-negara Islam akan tergugat dan Amerika akan berjaya meranapkan perpaduan dikalangan rakyat dan pemerintah di negara umat Islam. Kita perlu ingat, bahawa di mata Amerika tidak ada bezanya antara ancaman muslim fanatik dengan muslim liberal justeru bagi mereka potensi kebangkitan Islam itulah yang lebih digeruni. Atas dasar itulahPakistanyang sejak dulu dianggap sekutu rapat Amerika masih terus dicurigai kerana ‘Islamic bom’nya.
Sebenarnya, kekuatan perisikan Amerika bukan sahaja gagal mengesan ancaman lahiriah seperti serangan ke atas WTC dan Pentagon, tetapi mereka juga gagal merisik sesuatu yang lebih bersifat rohani dan maknawi. Kesucian dan kemurnian agama Islam tidak akan dapat difahami dan dihayati hanya berbekalkan suluhan teknologi tinggi. Tetapi Amerika perlukan sifat rasional ketimbang budi untuk menilai dan memahaminya.
Kuasa besar tersilap jika dia menjangkakan kebangkitan Islam akan terencat begitu sahaja dengan tekanan kuasa politik, ekonomi dan ketenteraannya. Mereka juga tersilap jika terus menggembar-gemburkan bahawa tokoh seperti Osama bin Laden yang akan memimpin kemaraan Islam.
Dan Barat lebih tersilap jika merasakan kebangkitan Islam adalah satu ancaman yang akan membawa kepada pertembungan total antara Islam dengan Barat yang akhirnya melenyapkan kepelbagaian tamadun manusia. Islam adalah rahmat buat alam dan kebangkitannya adalah juga adalah rahmat. Kemunculan Islam lebih kepada satu solusi menerusi kaedah dakwah, tarbiah dan masalah-masalah kronik dunia masa kini.
Manusia bebas untuk memilih samada untuk menerima Islam atau Liberal-Kapitalis sebagai cara hidup mereka. Namun pilihan akan jatuh pada sistem yang dapat memberi keadilan, kemakmuran dan keamanan kepada manusia sama ada dari segi spiritual, mental dan material. Siapa yang terpilih adalah dia yang membuktikan kemampuannya untuk berlaku adil, berkongsi kemakmuran dan memberi keamanan kepada penduduk dunia.
Jika tidak, sesiapa pun tidak boleh memaksa sesiapa untuk menerimanya walaupun diancam dengan muncung senjata. Kepimpinan Amerika, tidak boleh dipaksakan tetapi itu boleh berlaku secara rela sekiranya Amerika memenuhi kelayakan itu. Berlaku adillah, berlemah lembutlah dan berdiplomasilah. Tanpa syarat-syarat itu, mana-mana kuasa besar sekalipun akan menerima padahnya kerana siapa yang dizalimi pasti bangun melawan.
Dan hakikat ini sekali gus mencabar negara-negara Islam untuk membuktikan bahawa merekalah sebenarnya yang lebih layak untuk memberi sesuatu yang lebih baik berbanding Amerika. Dunia menanti sifat toleransi, adil dan dinamik seperti yang terkandung dalam ajaran Islam. Ajaran Islam sebenarnya bukanlah untuk ‘mengganas’ tetapi adalah untuk menyelamatkan.
Falsafah ini mesti diterjemahkan dalam bentuk amalan. Untuk menyelamatkan orang lain, umat Islam mestilah membuktikan bahawa mereka mampu terlebih dahulu menyelamatkan diri mereka sendiri. Tegasnya, dari segi lahiriah, negara Islam mestilah membina kekuatan ekonomi, politik, perpaduan dan ketenteraan mereka sendiri serta bersedia untuk memberi keadilan dan kasih sayang kepada semua.
Manakala di sudut rohaniah pula, umat Islam mestilah mampu membina satu kehidupan yang lebih adil, amanah, jujur, bertimbang rasa, pemaaf, pemurah, berani dan bersih dari kemungkaran dan kemaksiatan. Jika kedua-dua syarat ini dipenuhi, maka umat Islam yang layak memimpin dunia.
Justeru, Osama bin Laden bukanlah ‘wakil’ ‘keganasan’ Islam dan dia juga bukanlah ‘wakil’ keadilan Islam. Beliau cuma seorang individu Muslim yang bangun menentang kezaliman dan kecurangan Amerika terhadap saudara Islamnya dengan kemampuan dan caranya tersendiri. Beliau umpama ‘harimau’ yang dicederakan oleh pemburu yang tidak bertimbang rasa. Apakah yang ada pada harimau yang cedera itu selain taring yang masih bersisa untuk bangun melawan? Memang harimau akan menjadi ganas, jika habitatnya diusek dan ekosistem kehidupannya dirosakkan.
Inilah yang berlaku di dunia masa kini, habitat manusia yang inginkan kebebasan telah diusek dan manakala ekosistem politik, kewangan, budaya, ekonomi bagi ‘rimba kemanusian’ telah diperkotak-katikkan oleh kuasa besar dunia. Rusia, Amerika, Jepun, Jerman, Itali, Britain, Belanda, Portugis dan Sepanyol telah menerima padahnya bila cuba merosakkan bumi Allah.
Keganasan boleh mengajar pengganas, tetapi kita sebagai manusia diberi pilihan untuk menghapuskan keganasan dengan satu kelembutan dan keadilan. Pejuang Islam yang sebenar bukanlah mereka yang berjuang secara terdesak atau reaktif.. Sebaliknya mereka bangun dengan wajah yang lebih harmoni, mendidik, mendamaikan dan menawarkan satu tamadun yang lebih tinggi daripada apa yang diberikan oleh Barat kepada dunia.
Islam datang untuk menyelamatkan dunia – Barat dan Timur, bukan sebaliknya. Inilah potensi sebenar yang ada pada Islam. Sayangnya, potensi ini bukan sahaja tidak dapat dilihat oleh Barat bahkan umat Islam juga kadangkala kabur tentang kekuatan dan kemampuan mereka sendiri. Sesungguhnya, kita berharap berita ‘kehebatan’ Osama tidak akan melindungi kehebatan Islam itu sendiri.
Sesungguhnya, kematian Osama tidak akan menjanjikan dunia yang lebih aman selagi kuasa besar tidak berlaku adil malah menjadi penaja keganasan Zionis. Biarlah Amerika sendiri terperangkap dengan propaganda ciptaan mereka. Kita umat Islam jangan terikut-ikut tanpa panduan ilmu dan ketulusan hati. Sepatutnya kita umat Islam mula gigih bekerja dengan roh Islam sejati di setiap bidang – jadikan akidah, syariat dan akhlak sebagai tunjang dalam seluruh sistem hidup.
Dunia akan rugi jika umat Islam lemah. Rahmat yang sinonim dengan Islam akan terus terpendam jika kita alpa dan leka.Ya, dewasa ini Islam lebih memerlukan perpaduan dan kekuatan yang dibina secara kolektif daripada terus bersandar kepada karisma dan ketokohan yang berpusat hanya kepada seorang individu!
sumber: http://genta-rasa.com/2011/05/05/di-sebalik-seorang-osama/#more-1363
sumber: http://genta-rasa.com/2011/05/05/di-sebalik-seorang-osama/#more-1363
0 juta sudi membaca:
Post a Comment