Thursday, September 01, 2011

Biar Kasihku Untuk Suami


Oleh : tinta muadzin

            Tidak banyak yang dapat Rizal lakukan pada cuti semester kali ini. Ibu bapanya meminta Rizal tinggal di rumah membantu mereka menjaga adik-adiknya dengan pelajaran mereka. dia akur meskipun bermacam rancangan telah dia aturkan untuk cuti kali ini.
            Panas terik. Sukar untuk melihat tanda-tanda hujan akan turun dalam masa terdekat. Sedang Rizal sendirian di rumah, mengemas, deruman enjin motosikal kedengaran di hadapan rumahnya. Posmen. Rizal keluar untuk mengambil surat darinya. Pada surat itu tertera namanya yang ditulis dengan tangan. Rizal mengenali tulisan tangan itu. Anis…
            Rizal bergegas masuk ke biliknya untuk membaca surat dari kekasih hatinya itu.

*******

Assalamualaikum…
            Bagaimana kesihatan Riz sekrang? Anis harap, Riz sihat. Rizal kerap sangat jatuh sakit, Risau Anis setiap kali dengar Riz jatuh sakit. Anis harap Riz dapat jaga kesihatan dengan baik. Jangan bimbang, Anis di sini selalu sihat sahaja. Cuma, selesema sikit.
            Emm… Riz… Mesti Riz hairan kan, kenapa di zaman moden serba canggih ini Anis masih menggunakan surat untuk tulis kepada Riz sedangkan Anis boleh je SMS Riz dari sini? Sebenarnya, ada perkara Anis nak bagi tahu kepada Riz. Anis harap Riz akan memahami apa yang akan Anis katakan nanti.
            Riz, dah lama Anis dirikan solat hajat supaya Allah berikan petunjuk jika Riz adalah yang terbaik untuk Anis? Dah lama Anis dirikan solat istikharah degan harapan Allah berikan petunjuk tentang hubungan kita. Tapi, Anis masih belum dapat apa-apa petunjuk yang jelas.
            Mulanya, Anis ingat petunjuk itu akan datang melalui mimpi. Tapi, bila Anis tanya pada sahabat Anis, katanya bila buat solat istikharah, tidak boleh mengharapkan petunjuk itu datang melalui mimpi. Riz, dia juga ada kata bahawa petunjuk itu boleh datang melalui pelbagai cara sebab, hanya Allah sahaja tahu cara terbaik untuk berikan petunjuk kepada kita. Dia juga cakap, hanya Anis sahaja yang boleh tahu tentang petunjuk-Nya. Tambahnya lagi, antara cara Allah berikan petunjuk termasuklah melalui lintasan hati atau rasa hati, dalam erti kata lain, naluri.
            Riz, jujurnya Anis katakan, Anis berat hati untuk mengatakannya. Tapi, Anis tetap kuatkan hati Anis untuk mengatakannya kepada Riz dan hanya cara ini sahaja Anis dapat memberanikan diri. Maaf, Anis tak sanggup menggunakan bibir untuk mengucapkannya, hanya sekadar titisan tinta ini sahaja yang dapat Anis luahkan.
            Riz, adakah sesiapa yang berada di sana menaruh hati pada Riz? Jika ada, janganlah Riz siakan dia. Hargailah orang yang terdekat. Mungkin mereka adalah yang terbaik untuk Riz. Atau, adakah sesiapa di sana yang telah berjaya memikat hati Riz dan menggantikan Anis yang berada jauh dari Riz? Jika benar ada, Anis pasrah dan redha. Lagipun, Anis masih ingat pesan Riz di awal hubungan kita dahulu, “ Jika sudah jodoh kita berdua disatukan, kita tetap akan bersama… Sesungguhnya Allah telah menentukan yang terbaik untuk kita…”
            Riz, Anis menulis begini tidak bermakna hati Anis sudah dicuri jejaka lain. Tetapi, Anis… Anis… Anis tak mahu lagi hubungan ini berterusan. Anis rasa bersalah. Sebagai seorang gadis, sepatutnya Anis hanya memberikan kasih Anis ini kepada seorang lelaki bernama suami.
            Masih ingat kata-kata Riz semasa kita masih di matrikulasi dulu, ketika kita berdua  perlu berjumpa untuk melakukan urusan persatuan? Riz kata, “Bawalah sahabat Anis yang paling Anis percayai… Kita masih belum mempunyai ikatan yang sah untuk berjumpa hanya berdua… Riz masih belum menjadi suami Anis…” Kalau Riz sudah pun terlupa, anggaplah ini sebagai peringatan. Riz, sejak kali pertama Riz berpesan begitu, Anis telah berpegang pada kata-kata Riz ini dan Anis akan tetap terus ingat dan pegang kata-kata Riz itu.
            Riz, jujurnya Anis katakan, amat sukar untuk Anis cuba melupakan hubungan kita dan cukup sukar untuk Anis mengabaikan perasaan Anis pada Riz. Tapi, Anis sedar bahawa Anis adalah seorang gadis dan seorang gadis sepatutnya menyimpan kasihnya hanya untuk suami. Anis amat berharap agar Anis dapat melupakan hubungan kita. Anis sendiri telah pun redha akan ketentuan Ilahi tentang jodoh Anis. Anis harap Riz pun dapat melakukan seperti Anis, lupakan hubungan kita.
            Riz, Anis tak mahu mengatakan bahawa Anis masih menunggu Riz untuk datang melamar Anis. Usahlah Riz bertanya jika Anis akan menunggu Riz. Biarlah persoalan ini menjadi rahsia kerana antara kita masih belum ada ikatan yang sah. Riz masih belum suami Anis. Cukuplah jika Anis mengatakan bahawa, selagi bunga belum disunting, selagi itu kumbang berpeluang, selagi Anis belum dilamar, selagi itu Riz boleh datang meminang.
            Riz, Anis berkata begini bukanlah bermaksud Anis masih menunggu Riz. Tetapi, jika Anis telah dilamar terlebih dahulu dan itu adalah kehendak ibu bapa Anis, Anis redha dan Anis harap Riz dapat melepaskan Anis. Jika Riz ingin mengahwini gadis lain, Anis tetap redha dan rela melepaskan Riz.
            Riz, jujurnya Anis katakan, berat untuk Anis mengatakannya melalui titisan pena ini. Bahkan lebih berat lagi untuk Anis mengatakannya melalui bibir ini. Namun, Anis tetap nekad untuk mengatakannya Anis harap, Riz dapat memahami keputusan Anis ini dan menerimanya.
            Riz, terima kasih untuk segalanya yang telah Riz berikan kepada Anis. Ketika saat Anis merasa lemah, Riz banyak memberikan kekuatan kepada Anis semula. Di saat Anis tidak tahu kepada siapa untuk mengadu, Riz sedia untuk menjadi pendengar yang baik. Di saat Anis amat-amat memerlukan bantuan, Riz sedia untuk membantu. Ketika Anis bersedih dengan keputusan matrikulasi semester pertama, Riz jugalah yang memberikan semangat untuk Anis terus berusaha dengan lebih gigih…
            Riz, mulai saat ini biarlah hubungan kita sekadar sahabat yang pernah berkenalan di matrikulasi dulu. Lupakanlah hubungan kita yang lebih dari sahabat rapat itu dan biarkanlah ianya menjadi sejarah. Jangan lupa, belajarlah bersungguh-sungguh sehingga Riz dapat mencapai cita-cita Riz. Janganlah sekali-kali lupakan Allah.
Pesanan Riz selalu bermain-main di kepala Anis, “Jadilah wanita solehah yang mulia dengan Islam..” Melalui surat ini, Anis juga ingin memberikan pesanan yang sama untuk Riz, “jadilah lelaki soleh yang mulia dengan Islam…”
Riz, biarlah kasih Anis ini untuk seorang lelaki bernama “SUAMI…”

Assalamualaikum……

Seorang gadis,
Anis




1 juta sudi membaca:

Rean said...

Riz kena cepat2 pinang kalau betul2 sayangkan anis ni..hehe

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com