Usai solat Maghrib berjemaah bersama suami sebentar tadi, saya memohon pada suami untuk memberikan saya sedikit tazkirah. Kalau dulu, saya sekadar mampu membaca dalam novel-novel Islamik tentang adegan begini, atau dulu sekadar memasang impian dan angan-angan, namun Alhamdulillah, syukur yang teramat sangat Allah beri saya peluang secara realiti merasainya sejak berkahwin. Dulu saya pesimis, seolah-olah adegan begini hanya sekadar dalam penulisan novel mahupun angan-angan muslimah yang mendapat tarbiah, betul ke ada sesi-sesi tazkirah macam ni antara suami isteri? Macam pelik je. Tapi tak pelik sebenarnya, dan memang boleh sangat jika berkehendak mewujudkan budaya macam ni.
Kebetulan malam ni Alhamdulillah kami berdua ada kelapangan masa, tak perlu nak bekejar-kejar ke program kuliah mahupun ceramah ataupun meeting. Jadi masa bersama yang ada ni terlalu bermakna. Jiwa saya terasa agak kosong minggu ni, macam-macam cuba saya lakukan tetapi selalunya berakhir dengan kekecewaan. Sebagai pelajar final year kuliah undang-undang syariah di UIAM, bebanan kerja tugasan semakin bertambah. Saya makin berserabut dengan assignment, case review, drafting, presentation, investigation paper CPC, dan bermacam-macam lagi. Apatah lagi di musim PRK begini. Terasa diri tunggang langgang. Peruntukan masa untuk diri, akademik, perjuangan, suami bercelaru tak tersusun. Ditambah dengan kehilangan planner kesayangan saya pada hari Khamis yang lalu, saya makin tak keruan.
Masa yang ada bersama suami tadi antara Maghrib dan Isyak saya cuba guna sepenuhnya untuk kumpulkan kembali kekuatan. Apatah lagi aura ketenangan solat berjemaah, berzikir dan berdoa bersama tadi cukup berbekas di hati, Alhamdulillah.
Saya mintak pada suami bagi tazkirah tentang ruhiyyah dan hati pada mulanya. Beliau agak keberatan mulanya, susah nak cakap pasal ruhiyyah ni katanya. Memang benar. Sangat susah. Ruhiyyah ni adalah rahsia kita dengan Allah. Rahsia hati dan detik naluri. Terzahir dengan ibadah kepada Allah. Kemudian saya mohon beliau ceritakan kepada saya tentang kisah Nabi-nabi. Saya sangat suka dengan kisah dan cerita. Terutamanya kisah Nabi-nabi. Manusia-manusia pilihan Allah. Suami menceritakan tentang Nabi Sulaiman. Tapi entah bagaimana akhirnya beliau ter'masuk' cerita tentang konspirasi Yahudi Illuminati dan pelbagai rancangan mereka. Saya hanya tersenyum dan mendengar, saya faham sangat suami saya ni dan 'kegilaan' research beliau kini.
Hakikatnya, kita perlukan Allah sebagai sumber kekuatan kita yang mutlak. Allah segala-galanya. Walau isu tentang kalimah Allah kini hangat terus diperdebatkan dengan pelbagai insiden serangan gereja dan sebagainya, cukuplah buat masa ini kita muhasabah sama ada Allah yang kita pertahankan itu wujud atau tidak dalam diri dan hati kita kini? Kita makin dekat atau makin jauh dengan Allah? Muhasabah buat diri saya yang sering alpa dan leka.
Alhamdulillah, rasa makin tenang setelah usai solat Isya' berjemaah sebentar tadi. Rasa lebih bersemangat meneruskan kehidupan sementara ini.
Ya Allah, mudahkan pengaturan dan pengurusan segala urusan dunia kami, jadikan semuanya saham buat kami di akhirat nanti, bekalan untuk bertemu MU ya Allah..
KU IMPIKAN SUASANA BEGINI SUATU HARI NANTI....boleh kah Ya Allah???
0 juta sudi membaca:
Post a Comment